Kecoh seketika dengan kempen #deletefacebook berikutan dakwaan laman sosial terbabit menjual data pengguna kepada pihak ketiga.
Jika anda sedar, bukan saja Facebook tetapi kebanyakan laman sosial bergantung kepada taktik terbabit untuk tujuan ‘monetize’.
Data terbabit memang ditawarkan kepada pihak lain atas tujuan iklan meskipun laman sosial berkeras tidak ‘menjualnya’.
Facebook boleh dikatakan syarikat yang menyediakan data kepada pihak ketiga yang mahu menjual produk mereka.
Ia menjadi saluran yang khusus berdasarkan umur, jantina, lokasi, minat dan status perkahwinan kita.
Sudah
pasti, ia menjadi ‘port’ paling menarik kepada pengiklan untuk
memperoleh maklumat terbabit walau mahal sekalipun koleksi data itu.
Ia perkakasan yang terbaik kepada pengiklan.
Sebenarnya
bukan setakat Facebook saja, anda mungkin sedang membaca mengenai
selebriti di Internet dan satu persatu perincian terpapar di skrin
telefon atau komputer.
Dalam dunia Internet sekarang yang dikatakan semua maklumat di hujung jari, apa saja boleh berlaku.
Apabila
dikatakan apa saja boleh berlaku, ia bermaksud kemungkinan besar
maklumat yang anda lihat di Internet bukan saja mengenai orang lain
tetapi secara tidak sedar semua data berkaitan anda jelas terpampang di
sana.
Misalnya, apabila anda menaip nama sendiri di Google, ia
akan memaparkan maklumat paling asas iaitu akaun laman sosial seperti
Facebook, Instagram atau Twitter.
Jadi, apa maklumat mengenai anda yang tersimpan dalam Internet tanpa anda sendiri tahu mengenai kewujudannya?
Jika
anda sudah mendaftar di laman sosial seperti yang dinyatakan awal tadi,
secara automatik nama anda sudah dicap dan akan ‘tertanam’ di Internet.
Bukan
itu saja, maklumat mengenai jaringan rakan juga turut sama diperoleh
dengan mudah kerana buat masa ini kebanyakan tetapannya diset kepada
‘default’ yang secara umumnya terbuka melainkan anda sendiri
mengubahnya.
Lebih membimbangkan, kemungkinan bukan saja nama atau
akaun laman sosial anda saja yang bersepah di Internet, tetapi maklumat
peribadi lain seperti nombor kad pengenalan, telefon dan kad kredit
boleh tersebar jika tidak berhati-hati.
Salah
guna maklumat peribadi bukan membabitkan individu popular saja tapi
kebanyakan penggodam siber lebih gemar menyasarkan orang biasa kerana ia
lebih mudah dan boleh dikatakan kebanyakan modus operandi bermotifkan
keuntungan.
Kita perlu tahu kebanyakan laman web mengesan
penggunaan berdasarkan ‘cookies’ jadi lebih mudah bagi mereka untuk
menyasarkan iklan tertentu mengikut profil.
Namun, sepatutnya
maklumat berkaitan tidak keluar dari lingkup tujuan pengiklanan
semata-mata, tetapi ia boleh disambungkan ke pelbagai laman ‘affiliate’
lain yang mengetahui siapa diri anda secara ‘online’.
Namun, ada juga sesetengah yang mempamerkan maklumat anda secara online sehingga maklumat asas terpampang.
Dalam
laman yang mengumpul data ini, sesiapa saja boleh menaip nama, e-mel,
nombor telefon atau maklumat peribadi anda seterusnya mengetahui tarikh
lahir, alamat rumah, sejarah tempat tinggal, nilai rumah, jumlah saudara
mara, agama, bangsa, hobi, sejarah pekerjaan mahupun laman sosial yang
anda ada akaunnya.
Maklumat ini boleh diperoleh secara percuma di
Internet dan kadang-kadang ada yang menawarkan maklumat tambahan pada
harga yang rendah.
Kalau anda tidak percaya,
cuba taip mana-mana e-mel yang berdaftar di Google dan ia akan
terpampang di skrin. Jarang pula keluar ayat ‘No results found for’.
Maklumat
yang keluar nanti mungkin bukan berkenaan e-mel saja, tetapi sejarah
perbualan di laman sosial, status yang dikongsi orang lain malah jika
individu lain berbual mengenai anda pun akan turut dipaparkan.
Bagi
enjin carian, maklumat terbabit mungkin berguna untuk memeriksa
reputasi online anda saja tetapi laman pengumpulan data mempunyai
maklumat lain tanpa disedari.
WWW memang dunia yang sangat luas
tapi ada satu lagi dunia yang dipanggil ‘Deep Web’ mengandungi muka web
dan pusat data boleh cari ‘underground’ kebanyakannya tidak berindeks
dengan enjin carian.
Kemungkinan ada individu yang ‘suka-suka’ saja menggali maklumat anda dan memaparkan di Deep Web.
Anda
boleh lihat laman carian individu seperti Pipl yang memungkinkan anda
mencari berdasarkan nama, e-mel, nama pengguna, nombor telefon atau
lokasi dan dikhabarkan jika anda menaip, ia akan memaparkan maklumat
paling relevan berkaitan individu terbabit seperti laman linkedin atau
akaun Facebook.
Kemudian, anda boleh membayar harga premium untuk memperoleh maklumat tambahan mengenai individu terbabit.
Kita
bernasib baik kerana pengguna data yang mendedahkan maklumat peribadi
individu kepada orang ketiga tanpa persetujuan pemilik untuk tujuan
komersial kerana mereka boleh berdepan tindakan tegas berikutan
penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Akta
itu digunakan untuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan
serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di negara ini.
Menerusi
akta berkenaan, mereka yang mempunyai data pengguna dari 11 sektor
seperti komunikasi, insurans, perkhidmatan dan jualan langsung akan
lebih bertanggungjawab dalam memberikan maklumat peribadi individu
kepada pihak luar.
Semua data peribadi yang dilindungi mengikut
Akta 709 termasuk nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor pasport,
maklumat kesihatan, e-mel, gambar, imej rakaman kamera litar tertutup
(CCTV) dan maklumat dalam fail peribadi.
Kegagalan berbuat
demikian boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM500,000
atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan
memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran atau selepas
pendaftaran dibatalkan serta denda tidak lebih RM200,000 atau penjara
tak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan tidak mematuhi
notis penguatkuasaan atau kehendak pesuruhjaya.
Meskipun dengan akta terbabit, Internet tetap Internet. Sekali sudah melekat, sukar untuk dikeluarkan secara total.
Apa
yang boleh anda lakukan? Semak semula tetapan laman sosial terutama
Facebook, sekurang-kurangnya jika tak secara keseluruhan, anda masih
boleh melindungi maklumat penting daripada bocor.
Kemudian apabila
melayari atau mendaftar sesuatu, bersihkan ‘cookies’ anda atau jangan
terlalu berharap untuk menyimpan kata laluan.
Jika nama anda
berada di laman carian, mungkin boleh memohon kepada laman carian
terbabit untuk menghilangkannya dengan membuat permohonan rasmi melalui
e-mel dan melampirkan bukti pengenalan.-sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan